Friday, October 16, 2009

Konsep dan Istilah KOMSAS

Konsep dan Istilah Komponen Sastera
A. Konsep penting yang perlu diketahui dalam komponen sastera:

1. Personafikasi:
Personafikasi bermaksud “member unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda hidup”.

Contoh:
i. Angin sepoi bahasa di pinggiran pantai itu menampar pipiku. (menampar ialah perbuatan manusia)
ii. Dedaun kelapa di pantai melambaiku riang. (melambai/ riang ialah perbuatan/sifat manusia)
iii. Dingin malam menggigit tulangku. (menggigit ialah perbuatan manusia)

2. Metafora:
Metafora bermaksud “perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung tanpa menggunakan kata bandingan iaitu seperti, bak, umpama dan sebagainya”.

Contoh:
i. Rambut puteri itu mayang mengurai dan cantik sekali.
ii. Suaranya lantang guruh sambut menyambut.
iii. Merah darah mengalir di tubuhku.

3. Simile:
Simile bermaksud “perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata bandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai, se dan sebagainya”.

Contoh:
i. Hatinya hampa bagai kaca jatuh ke batu.
ii. Suaranya merdu seperti buluh perindu.
iii. Dia diam bak tahu apa yang tersirat di fikiranku.
iv. Wajahnya sehebat peribadinya.

4. inversi:
Inversi ialah “pembinaan struktur frasa ayat atau ayat yang terbalik”.

Contoh:
i. Semalam petang dia datang menjengukku. (sepatutnya “petang semalam”)
ii. Panas cuaca petang itu melelahkan tubuhnya. (sepatutnya “cuaca panas”)
iii. Kopi secawan diteguknya puas-puas. (sepatutnya “secawan kopi”)

5. Singkop:
Singkop bermaksud “singkatan perkataan”.

Contoh:
i. “Dia dah datang semalam, Pak Abu” kata Ariff perlahan.
ii. “Biarlah kubawa diri yang terluka ini”, balas Wan Kamariah.
iii. “Cerita tu mungkin benar”, jelas Inspektor Zamri ringkas.

6. hybrid:
Hibrid bermaksud “penggabungan beberapa perkataan menjadi satu perkataan sahaja”.

Contoh:
i. Hatinya bisupilu mendengar penjelasan itu.
ii. Dia tidak akan ikut rentaktari pengikutnya yang marah itu.
iii. Begitulah adattari kehidupan sebagai seorang nelayan.

7. Anafora:
Anafora bermaksud “pengulangan perkataan pada awal baris atau ayat”.

Contoh:
i. Dia masih berdiri di situ. Dia mengingati saat manisnya di kota Paris.
ii. Masihkah lagi kau mengingatiku. Masihkah lagi detik itu kau ingati.
iii. Belum tiba masanya dia bersuara. Belum tiba masanya dia mengakui hakikat itu.

8. Epifora:
Epifora bermaksud “pengulangan perkataan pada akhir baris atau ayat”.

Contoh:
i. Hatinya mengimbas luka lama. Perasaannya masih terpilu oleh luka lama.
ii. Biarlah Dila menangis. Atau Shafik juga akan menangis.
iii. Abang membesar dengan lampu minyak tanah. Aku Berjaya juga dengan lampu minyak tanah.

9. Diksi:
Diksi bermaksud “pemilihan perkataan yang sesuai dengan sesuatu cerita yang ditulis”.

i. Contoh: (Katakan cerita tentang perjuangan seorang tentera)
Dia menggalas rifel dan melakukan serangan hendap di garisan hadapan platun itu.

ii. Contoh: (Katakan cerita tentang keagamaan)
Malam itu dia mendengar usrah daripada ustazah. Bibit-bibit nur menjelma di jiwanya.

iii. Contoh: (Katakan cerita tentang cinta/ kasih sayang)
Hatinya terlalu rindu. Belaian kemesraan itu sering kudambakan.

10. Asonansi:
Asonansi selalunya digunakan bagi mengulas sesuatu hasil puisi (sajak/ pantun/syair dan sebagainya). Asonansi bermaksud “pengulangan vokal dalam sesuatu baris ayat”.

Contoh:
i. Adakah ayah amat marah akan kakak lagi.
Pengulangan vokal ‘a” sebanyak 13 kali.

ii. Di sini kita masih tercari-cari erti harga diri sendiri.
Pengulangan vokal “i” sebanyak 12 kali.

iii. Untung juga usahaku rupanya.
Pengulangan vokal “u” sebanyak 6 kali.
11. Aliterasi:
Aliterasi bermaksud "pengulangan konsonan dalam sesuatu ayat".
Contoh:
i. Gadis gigih itu menggigil gementar.
Pengulangan konsonan "g" sebanyak 7 kali.
ii. kakak masih kaku ketika kita kembali.
Pengulangan konsonan "k" sebanyak 8 kali
12. Bombastik/ hiperbola:
Bombastik atau hiperbola ialah "perbandingan atau pemilihan kata yang berlebih-lebihan"
Contoh:
i. Suaranya bom atom meledak bumi.
ii. Badannya ringan seringan atom yang beterbangan di udara.
13. Alusi:
Alusi bermaksud "penggunaan watak atau watak sejarah dalam puisi".
Contoh: (sajak)
Pemudaku hari ini
gigihlah berjuang demi tanah air
bawalah pesan Hang Tuah Melayu tak kan hilang di dunia
sambutlah hasrat sang Maharajalela

14. Rima akhir:
Rima akhir bermaksud “bunyi perkataan yang ditandakan dengan ‘huruf akhir’ pada sesuatu ayat”. Hanya digunakan untuk mengulas bahan puisi sahaja seperti sajak/ pantun/ syair dan sebagainya.

i. Contoh: (pantun)

Dua tiga kucing berlari. (ditandai dengan “a”)
Manakan sama si kucing belang.(ditandai dengan huruf “b”)
Dua tiga boleh kucari.(ditandai dengan “a” kerana huruf akhir sama dengan baris 1)
Manakan sama ibu seorang. (ditandai dengan “b” kerana huruf akhir sama dengan baris 2)
Oleh itu, rima akhir pantun di atas ialah “abab”.

ii. Contoh: (sajak)

Matanya pejam bisu (a)
hati membarah sudah (b)
tetkala pekat malam menjelma (c)
dia hanya mampu (a)
menggalas suka duka kehidupan (d)
ranjau tajam di rantauan (d)
Oleh itu, rima akhir sajak di atas ialah “abcadd”.

12. Perlambangan/ imejan:
Imejan bermaksud “penggunaan perkataan lain yang mempunyai maksud berlainan”.

Contoh:
i. Dia masih hijau ketika tanah airnya diserang penjajah. (muda)
ii. Dia tahu, dirinya sudah menghampiri senja. (tua)
iii. Adakah merpati akan menjenguk daerahku yang penuh kesengsaraan ini. (kedamaian/ kemerdekaan)

13. Watak dan perwatakan:
Watak ialah “pelaku dalam sesebuah cerita dan berfungsi untuk menyampaikan idea penulis”.

i. Watak utama : watak penting yang menghidupkan sesuatu cerita. ( watak penting 1 sahaja)
ii. Watak sampingan : watak pembantu kepada watak utama. (banyak watak sampingan)
iii. Watak bulat/ bundar : Watak yang dinamis dan boleh berubah sifat/ sikapnya.
iv. Watak pipih : watak yang statik dan tidak berlaku perubahan. Contoh: Jika jahat terus jahat hingga akhir)
v. Watak antagonis : watak penyambut yang biasanya negatif. (Datin Salmah dalam Konserto Terakhir)
vi. Watak protagonis : watak pemula yang biasanya bersifat positif. (Hilmi dalam Konserto Terakhir)
vii. Watak kodi : watak nenek kebayan (Contoh: cerpen Peminangan Puteri Gunung Ledang)

14. Plot:
Plot ialah “jalinan peristiwa atau rentetan cerita yang berasaskan sebab dan akibat”.

Terbahagi dua:

i. Perkembangan plot (terbahagi 5)
Perkembangan cerita bermaksud “jalinan/ jalan cerita dari awal hingga akhir”.
a. Pengenalan
b. Perkembangan
c. Pertentangan / konflik
d. Puncak cerita / klimaks
e. Peleraian

ii. Teknik plot (terbahagi 6)
Teknik plot bermaksud “cara sesuatu cerita / teknik sesuatu cerita itu disampaikan”.

i. Pemerian/ penceritaan : biasanya pengarang bertindak sebagai pencerita.
Contoh:
Hilmi datang dari kampung di Kedah. Dia hanya lulus darjah empat sekolah. Dia ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan……..

ii. Dialog : Penceritaan melalui perbualan 2 orang watak atau lebih dengan secara jelas.
Contoh:
“Bila kau datang, Hilmi?” Datuk Johari bertanya. “Petang tadi. Ibu kirim salam”, balas Hilmi.

iii. Monolog : penceritaan melalui kaedah watak bercakap seorang diri.
Contoh:
“Oh, aku harap kau akan subur terus, cantik dan wangi!”, kata Hilmi pada bunga di hadapannya.

iv. Monolog dalaman : Watak berkata di dalam hati atau dalam fikirannya serta tidak terkeluar kata-kata.
Contoh:
“Cis, sial sungguh budak Hilmi ini!” getus hati Datin Salmah.

v. Imbas kembali/ flashback: Pengulangan semula cerita lama.
Contoh:
Hilmi tersandar di kerusi di rumah Datuk Johari. Fikirannya melayang mengingati kisah lama. (Saban hari menorah getah. Hasil getah dijualnya kepada Taukeh Lim. Duit itulah digunakan menyara ibunya yang sudah tua. Ibunya sakit tenat………)

vi. Imbas muka : Menceritakan peristiwa yang belum berlaku.
Contoh:
Hilmi tersandar di kerusi di rumah Datuk Johari. Fikirannya melayang memikirkan nasib dirinya. Alangkah baiknya jika dia juga anak orang kaya. (Setiap hari dia akan berkereta mewah. Memandu laju sambil di kelilingi gadis kota. Setiap malam dia akan mengunjungi nite club. Kalau tidak di Kuala Lumpur pasti dia akan ke …….)

15. latar:
Latar terbahagi kepada 3:

i. Latar tempat
Latar tempat bermaksud “tempat sesuatu cerita itu berlaku”. Contohnya, di Kuala Lumpur, di sekolah Henry Gurney, di rumah pak Mat, di kebun sayur Ah Ming dan sebagainya.

ii. Latar masa
Latar masa bermaksud “waktu atau masa sesuatu peristiwa itu berlaku”. Contohnya pada zaman dahulu, pada tahun 2003, pada minggu lepas, pada bulan Januari, pada waktu malam, pada siang hari, pada pukul 4.00 petang dan sebagainya.

iii. Latar budaya/ masyarakat
Latar budaya atau masyarakat bermaksud “keadaan masyarakat atau budaya di mana peristiwa itu berlaku”. Contohnya, masyarakat Malaysia, masyarakat moden, masyarakat petani, masyarakat seniman, masyarakat Cina, masyarakat yang suka membantu, masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan tahyul, masyarakat pelajar dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment